25 DIS : Angka harian kes COVID-19 di Perancis mencatatkan sebanyak 94,124 jangkitan dalam tempoh 24 jam, semalam sekaligus menjadikan angka tertinggi yang dicatatkan di negara itu.
Selain jumlah tertinggi kes baharu sejak pandemik itu melanda Perancis, ia juga adalah hari kedua berturut-turut negara ini menyaksikan lonjakan penularan yang mencatat rekod angka harian.
Malah, angka itu dijangka terus meningkat susulan ancaman perebakan varian Omicron yang mempunyai kadar kebolehjangkitan sangat tinggi, di samping faktor musim cuti perayaan Krismas.
Seramai 16,173 individu dimasukkan ke hospital akibat jangkitan COVID-19 dengan 3,254 dirawat di penjagaan kecemasan.
Setakat ini, pandemik COVID-19 telah meragut 122,462 nyawa di Perancis.
Kira-kira 76.5 peratus daripada keseluruhan 67.4 juta populasi negara ini sudah menerima suntikan dua dos vaksin COVID-19, manakala hampir 21 juta penduduk pula memperoleh dos penggalak.
Semalam, pihak berkuasa kesihatan menyarankan supaya golongan dewasa mendapatkan suntikan dos penggalak tiga bulan selepas lengkap vaksinasi utama.