25 DIS : Sebanyak 49 lagi kes positif COVID-19 varian membimbangkan (VOC) Omicron, dengan satu daripadanya berkemungkinan daripada penularan tempatan dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, penularan tempatan itu dikesan di Sarawak membabitkan lelaki warganegara China yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan sudah bekerja di negeri berkenaan sejak tiga tahun lalu.
“Lelaki berkenaan menunjukkan gejala batuk sejak 13 Disember lalu dan melakukan ujian saringan COVID-19 lima hari kemudian sebelum disahkan positif COVID-19.
“Beliau kemudian dikuarantin di Pusat kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Hospital Umum Sarawak dan dikesan mempunyai varian Omicron.
“Beliau kini dalam keadaan stabil serta dua lagi kontak rapatnya membabitkan pemandu kenderaan serta seorang lagi adalah kontak sosial. Kedua-dua kontak rapat ini adalah negatif,” katanya pada sidang media khas, hari ini
.