25 DIS : Lima orang terbunuh termasuk kanak-kanak dan wanita manakala belasan mangsa lagi cedera dalam siri serangan antara Arab Saudi dan Yaman.
Menurut pertahanan awam Arab Saudi, insiden serangan itu mengorbankan, dua mangsa di Arab Saudi menerusi serangan peluru yang didakwa dilakukan pemberontak Huthi Yaman, manakala tiga lagi maut di Yaman dalam serangan udara membabitkan gabungan pimpinan Riyadh.
Katanya dalam satu kenyataan, sebuah peluru tentera jatuh ke atas sebuah kedai komersial di jalan utama, mengakibatkan dua kematian, manakala tujuh lagi cedera melibatkan enam warga Arab Saudi dan seorang rakyat Bangladesh.
Sementara itu, pihak perubatan di Yaman pula mengesahkan tiga terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan udara dipimpin Arab Saudi di Ajama, iaitu sebuah bandar di barat laut ibu kota yang dikuasai pemberontak Sanaa.
Yaman mula dilanda perang saudara sejak 2014, dengan penentangan terhadap pemberontak Huthi yang disokong Iran.
Huthi menentang kerajaan diiktiraf di peringkat antarabangsa, yang disokong oleh gabungan tentera pimpinan Arab Saudi.
Huthi Yaman kerap melancarkan serangan membabitkan peluru berpandu dan dron ke negara jiran Arab Saudi yang menyasarkan lapangan terbang dan infrastruktur minyaknya.
Namun, insiden terbaharu ini buat pertama kalinya dalam tempoh beberapa bulan mengakibatkan kematian.