26 DIS: Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Pantai Timur, Johor, Sabah dan Sarawak, mulai esok.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berkata, keadaan itu berikutan luruan monsun pada 27 Disember hingga 1 Januari depan.
Berdasarkan analisis model MetMalaysia Weather Research and Forecasting (MMD-WRF), European Centre for Medium Range Weather Forecast (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS), cuaca tekanan rendah diramal di Laut Cina Selatan yang boleh menyebabkan hujan lebat di timur Sabah pada 27 hingga 30 Disember, barat Sarawak (29-31 Disember) manakala Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan (30 Disember -1 Januari).
“Angin kencang dan laut bergelora diramal berlaku di perairan Laut Cina Selatan, termasuklah kawasan perairan pantai timur Semenanjung mulai hari ini.
“Orang awam yang merancang perjalanan ke kawasan berkenaan dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka dengan maklumat terkini,” katanya.
MetMalaysia terus memantau keadaan cuaca 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan akan mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan dan Amaran Ribut Petir bila keadaan perlu.