30 DIS: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk pembunuhan beramai-ramai di Myanmar disyaki dilakukan junta tentera.
Pembunuhan membabitkan 35 orang termasuk dua kakitangan Save the Children itu berlaku pada malam Krismas lalu di timur negeri Kayah, kawasan pemberontak prodemokrasi melawan tentera, yang mengambil alih kerajaan daripada pentadbiran dipilih secara demokrasi Februari lalu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, anggota Majlis Keselamatan menekankan keperluan memastikan akauntabiliti dengan tindakan itu.
Mereka juga menggesa supaya dihentikan segera semua keganasan dan menekankan kepentingan menghormati hak asasi manusia dan memastikan keselamatan orang awam.
Majlis Keselamatan juga menekankan keperluan untuk akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan kepada semua orang yang memerlukan, dan memberikan perlindungan penuh, jaminan keselamatan kepada kakitangan kemanusiaan dan perubatan.
Pejuang antijunta berkata mereka menemui lebih 30 mayat terbakar termasuk wanita dan kanak-kanak di lebuh raya di negeri Kayah susulan serangan itu.
Dua pekerja Save the Children hilang dan kumpulan hak asasi manusia mengesahkan mereka antara yang maut.
Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak rampasan kuasa Februari lalu dan menurut kumpulan pemantau tempatan lebih 1,300 orang terbunuh.
Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai “Pasukan Pertahanan Rakyat” muncul di seluruh negara melawan junta, menyebabkan berlakunya pertempuran dengan tentera.
Selepas serangan itu, Washington menyatakan mahu melaksanakan sekatan senjata ke atas junta.
Negara-negara Barat yang lain terlebih dulu menyekat senjata kepada tentera Myanmar, sejak negara itu dalam peralihan demokrasi sebelum rampasan kuasa berikutan dakwaan jenayah kemanusiaan kerana tindakan keganasan ke atas minoriti Rohingya. – AFP