31 DIS: Jangkitan COVID-19 yang masih mengganas terutamanya varian Omicron turut membantutkan sambutan tahun baharu di seluruh dunia.
Sejak dikesan dua tahun lalu, Coronavirus yang diisytiharkan pandemik global pada Mac 2020, sudah meragut lebih 5.4 juta nyawa, mencetuskan krisis ekonomi dan sekatan pergerakan.
Kemunculan Omicron yang melonjakkan kes baharu kebelakangan ini terutamanya di Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan negara Eropah lain membuatkan sekatan pergerakan dilaksanakan semula.
Jumlah kes COVID-19 baharu harian di seluruh dunia mencecah satu juta buat kali pertama, dengan lebih 7.3 juta kes dicatatkan dalam tempoh tujuh hari terakhir tahun ini.
Dari Greece ke Mexico, dari Barcelona ke Bali dan merentasi kawasan Eropah, pihak berkuasa membatalkan atau menyekat perhimpunan awam, sama ada menutup atau mengenakan perintah berkurung di kelab malam.
Hanya Afrika Selatan, negara pertama yang melaporkan varian Omicron, tidak mengikut aliran sekatan pergerakan dengan menetapkan perintah berkurung dari waktu tengah malam hingga 4 pagi bagi sambutan tahun baharu diteruskan,
Keputusan itu dibuat selepas pegawai kesihatan memaklumkan berlaku penurunan kes jangkitan pada minggu lalu, yang menunjukkan puncak gelombang jangkitan berakhir.
Di Perancis, pemakaian pelitup muka di luar rumah diwajibkan semula mulai hari ini bagi mereka yang berumur 11 tahun ke atas manakala kelab malam pula ditutup sehingga Januari.
Di Sepanyol, perayaan awam dibatalkan di kebanyakan wilayah dan di bandar terbesar kecuali di Madrid, yang mana perhimpunan dihadkan kepada 7,000 peserta berbanding 18,000 pada 2019.
Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain berkata ia akan mula membuka hospital medan sementara untuk membendung kemungkinan lonjakan pesakit di England, yang mana kerajaan tidak menyekat sambutan Tahun Baru.
Pihak berkuasa di Arab Saudi melaksanakan semula langkah penjarakan sosial di Masjidilharam, kota suci umat Islam di Makkah, selepas merekodkan jumlah jangkitan tertinggi dalam beberapa bulan ini.
Jangkitan Omicron menyebabkan beberapa hospital di AS mencatatkan peningkatan kes dengan purata kes baharu dalam seminggu mencecah 265,427 jangkitan, menurut tinjauan Universiti Johns Hopkins.
Russia memaklumkan lebih 71,000 orang meninggal dunia akibat coronavirus di negara itu pada November, rekod kematian baharu sejak permulaan wabak itu.