31 DIS: Pengusaha dan pemandu pelancongan boleh memohon pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bermula esok sehingga 30 Jun depan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berkata, pengecualian itu turut diberikan kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang belum mendapat kelulusan pembaharuan lesen disebabkan oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“MOTAC sentiasa prihatin dengan senario cabaran besar dan berterusan yang masih dihadapi oleh penggiat industri pelancongan susulan impak pandemik COVID-19.
“Mengambil kira cabaran berkenaan, MOTAC bersetuju untuk melaksanakan inisiatif terbabit termasuk mengecualikan fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang sudah mendapat keputusan pembaharuan lesen namun tidak dapat membuat bayaran fi lesen disebabkan PPN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pelaksanaan perlanjutan inisiatif itu, MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang layak mengambil peluang ini untuk membuat permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan mengikut tarikh tamat lesen masing-masing bagi memastikan pengecualian ini dapat dinikmati.
“Pengecualian fi pembaharuan lesen sehingga 30 Jun depan ini membabitkan 2,219 syarikat pengusaha pelancongan yang berjumlah RM 1,646,100,” katanya.
Dalam pada itu, MOTAC menggesa semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong berkenaan untuk membuat pembaharuan lesen dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pematuhan kepada perundangan sedia ada.