4 JAN: Perdana Menteri enggan enggan melayan spekulasi mengenai rombakan Kabinet yang didakwa bakal menyaksikan tiga menteri digugurkan dalam masa terdekat.
Sebaliknya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tumpuannya kini terarah kepada usaha menangani banjir dan pascabencana itu, serta langkah membendung penularan COVID-19.
“Belum tiba masanya lagi (rombakan Kabinet). Biarlah spekulasi itu menjadi spekulasi. Macam-macam nama timbul sekarang (berkaitan spekulasi), namun tumpuan saya kini hendak membantu rakyat yang terkesan dengan banjir dan COVID-19.
“Malah, mesyuarat Kabinet esok akan menumpukan agenda menangani banjir dan usaha mengekang COVID,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa, Durian Tunggal, hari ini.
Semalam, tular berita mengenai spekulasi tiga Menteri didakwa bakal digugurkan daripada senarai jemaah Kabinet.
Tiga nama yang dikaitkan dengan spekulasi itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.