5 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) mengecualikan sesi persekolahan 113 institusi pendidikan kendaliannya yang masih terkesan akibat banjir daripada beroperasi pada 9 dan 10 Januari ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pengoperasian sekolah ditangguhkan dan hanya akan bermula selepas institusi pendidikan yang terbabit sedia untuk beroperasi.
“KPM akan terus memantau dan mengemas kini pada setiap Rabu berhubung senarai institusi pendidikan yang dilanda banjir atau dijadikan sebagai PPS.
“Perubahan senarai yang dikeluarkan KPM adalah tertakluk kepada situasi semasa bencana banjir, justeru mungkin terdapat pertambahan atau pengurangan bilangan institusi pada setiap minggu,” katanya.
Bagi institusi pendidikan yang selesai dibersihkan dan bersedia untuk kembali beroperasi, pengoperasiannya akan bermula pada hari Ahad atau Isnin minggu persekolahan berikutnya.
Institusi pendidikan di bawah KPM adalah merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.
Ia juga terpakai kepada sekolah swasta yang berdaftar di bawah KPM.
Pada masa sama, lapan institusi pendidikan yang terkesan akibat banjir dan belum bersedia untuk beroperasi ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bentong, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sri Telemong, SJKT Karak, SJKC Taman Tas, SJKT Ladang Acob, SK Rantau Panjang, SK Taman Sri Muda dan SK Taman Sri Muda 2.