5 JAN : Standard Operasi Prosedur (SOP) penjarakan dalam pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di Johor kini hanya setengah meter berbanding satu meter sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata menerusi satu kenyataan hari ini, perubahan itu berkuat kuasa bermula Jumaat ini iaitu pada 7 Januari hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Turut dipersetujui menurut Tosrin adalah solat hajat dilaksanakan selepas solat Maghrib pada setiap hari dan selepas solat Jumaat setiap minggu di semua masjid dan surau negeri ini.
“Tujuannya adalah bagi memohon kesejahteraan buat negeri dan negara daripada segala musibah dan wabak penyakit. Selain itu, program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah dan ceramah agama ditambah daripada tempoh masa hanya satu jam kepada dua jam,” katanya dalam kenyatan tersebut.
Sementara itu, Tosrin berkata, bacaan qunut Nazilah hendaklah dibaca dalam solat Jumaat setiap minggu di seluruh negeri.
“Dalam pada itu, ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan surau perlu terus memastikan semua jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. SOP tersebut termasuklah memakai pelitup muka, lengkap dua dos vaksin, membawa sejadah sendiri dan tidak mempunyai sebarang gejala,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat khususnya masyarakat muslim di negeri ini untuk sama-sama berdoa agar beroleh perlindungan daripada segala wabak dan bencana.