5 JAN : Seorang lelaki, N Ganesparan, 40, kini dalam buruan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya di atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri yang tular di media sosial, pada 26 Jun lalu.
Menerusi satu kenyataan kepada media hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Ganesparan dikehendaki susulan waran tangkap Ewa3836752 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Jenayah Siber, Kuala Lumpur pada 20 Disember lalu.
“Waran tangkap dikeluarkan ekoran kegagalan lelaki terbabit untuk hadir pertuduhan kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, Abd Jalil meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat lelaki berkenaan untuk menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, Superintendan Junainah M Kasbolah di talian 019-7051222.
Maklumat juga boleh disampaikan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahrir Mohamad di talian 019-5414014.