9 JAN: Kerajaan bercadang untuk membina empat mahkamah baharu di Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), berkata pembinaan mahkamah baharu di Sarawak adalah penting bagi menampung jumlah kes yang semakin meningkat.
Lokasi cadangan pembinaan mahkamah baharu itu katanya, di Limbang, Sri Aman, Mukah dan Kapit.
“(Selain itu) saya mendapati masih terdapat banyak mahkamah di Sarawak yang bersidang menggunakan bangunan berkongsi dengan jabatan kerajaan lain.
“(Terdapat juga mahkamah yang) hakim perlu masuk ikut laluan orang awam. Sepatutnya hakim perlu ada jalan belakang untuk naik ke tempat duduk mereka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.
Jelas Wan Junaidi, kerajaan juga bercadang untuk membina satu unit kediaman rasmi buat Hakim Besar Sabah dan Sarawak di Kuching.
Sementara itu, Wan Junaidi memberitahu, di bawah RMK12, kerajaan telah meluluskan sebanyak 14 projek naik taraf, ubah suai dan pemuliharaan bangunan mahkamah-mahkamah di Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM9,212,700.