9 JAN: Amerika Syarikat (AS) meluluskan permintaan kakitangan dan ahli keluarga mereka untuk meninggalkan konsulat AS di Almaty, Kazakhstan, kelmarin susulan perintah darurat di negara itu.
Jabatan Negara AS, dalam satu kenyataan, mengingatkan rakyat AS di Kazakhstan bahawa bantahan ganas boleh tercetus pada bila-bila masa.
“Jika ia berlaku Kedutaan AS sukar untuk memberi bantuan segera kepada rakyat AS yang mahu meninggalkan Kazakhstan,” katanya.
Dalam pada itu, puluhan orang maut dan banyak bangunan awam di serata Kazakhstan diselongkar serta dibakar dalam keganasan paling buruk sejak negara bekas Kesatuan Soviet itu merdeka 30 tahun lalu.
Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev, kelmarin menolak desakan untuk berunding dengan pihak penunjuk perasaan.
Sebaliknya, beliau berikrar menghapuskan ‘penyamun bersenjata’ dan memberikan kuasa kepada pasukan keselamatan untuk menembak mati tanpa amaran.
Tokayev turut berterima kasih kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, selepas pakatan tentera diketuai Moscow menghantar pasukan ke Kazakhstan bagi membantu menangani krisis berkenaan.
Jurucakap bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stéphane Dujarric, berkata pihaknya sedang memantau secara dekat perkembangan di Kazakhstan.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi manusia, Michelle Bachelet, pula menggesa semua orang, termasuk pasukan keselamatan, penunjuk perasaan dan yang lain supaya mengelak bertindak ganas dan mencari jalan berdamai.- AFP