10 JAN : Enam individu termasuk seorang juruteknik ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung penipuan sijil vaksinasi COVID-19 palsu yang dikendalikan seorang doktor swasta di Marang.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, mereka yang ditahan berusia antara 35 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Marang, Dungun dan daerah ini, semalam dan pihaknya sudah mengambil keterangan enam individu terbabit di mana mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
” Siasatan awal ke atas kakitangan klinik swasta berkenaan mendapati mereka tidak terbabit dalam kegiatan pemalsuan sijil vaksinasi itu
Manakala, mereka yang ditahan dipercayai membantu suspek membuat hebahan berhubung sijil vaksinasi berkenaan. Hebahan perkhidmatan itu dilakukan secara ‘mulut ke mulut’ melalui kenalan yang dipercayai dan diupah dengan bayaran RM50 setiap pelanggan,” katanya hari ini.
Kata Rohaimi, perkhidmatan pemalsuan sijil itu dilakukan suspek secara bersendirian di kliniknya dengan kebanyakan urusan dilakukan secara dalam talian, termasuk menerusi emel.
Polis Terengganu semalam membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad temu janji vaksinasi.
Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang kira-kira jam 7 malam kelmarin.