13 JAN: Pengodam menyerang perisian sebuah penjara di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan banduan terkurung dalam sel dan sistem kamera keselamatan tertutup, menurut sebuah dokumen mahkamah.
Penyerang siber itu menggodam sistem komputer yang mengawal pelayan dan akses internet penjara di Bernalillo County, New Mexico minggu lalu.
Dalam tempoh singkat, sistem pintu automatik penjara itu tertutup, memaksa kakitangan di Pusat Tahanan Metropolitan (MDC) membuka kunci setiap sel secara manual apabila tahanan perlu keluar untuk bersenam atau beriadah.
“Kekurangan liputan kamera…mewujudkan kebimbangan keselamatan yang ketara terhadap keselamatan kakitangan dan banduan ketika mereka berada di luar sel.
“Ini bermakna banduan, malah kehadiran mereka dalam kumpulan awam dihadkan sementara waktu di sel masing-masing, kata maklumat dalam fail mahkamah pada 6 Januari.
Serang siber itu turut memusnahkan perkhidmatan di seluruh Bernalillo, daerah paling ramai penduduk di New Mexico termasuk pengeluaran lesen perkahwinan, pendaftaran pengundi dan transaksi hartanah.
“Orang ramai diminta memahami betapa beratnya isu ugutan perisian ini dan pada masa ini, perkhidmatan pejabat daerah masih terhad,” menurut satu kenyataan.
Serangan perisian tebusan berlaku apabila penggodam mengambil data daripada mangsa atau mengawal sistem komputer sehingga wang tebusan dibayar, menjadi semakin berleluasa apabila lebih banyak perniagaan rasmi dan komersial dijalankan dalam talian.
Tahun lalu, AS menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM41.86 juta) bagi mencari ketua kumpulan ‘Darkside’ berpangkalan di Russia, yang dipersalahkan Washington atas penggodaman menutup salah satu saluran paip minyak terbesar di negara itu.
Lebih daripada setengah bilion dolar membabitkan pembayaran berkaitan perisian tebusan dilaporkan kepada pihak berkuasa AS pada separuh penggal pertama 2021, namun kos sebenar dikhuatiri jauh lebih tinggi.
Syarikat dan institusi kini berdepan tekanan hebat untuk membayar tebusan perisian supaya data mereka boleh diakses semula selain dimarahi pelanggan dan pihak berkuasa kerana memberikan wang kepada penjenayah. – AFP