16 JAN : Dana Tabung Wakaf Air Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memperuntukan sejumlah RM2 juta bagi menyelesaikan masalah sumber bekalan air di seluruh negara tahun ini terutamanya di kawasan pedalaman.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebanyak RM1 juta sudah pun dibelanjakan setakat ini bagi menyediakan 32 wakaf air di seluruh negara.
“Setakat ini, KASA) membelanjakan kira-kira RM2 juta daripada dana terkumpul RM3 juta hasil sumbangan orang ramai. Daripada jumlah itu, sebanyak 20 telaga tiub sudah mula beroperasi manakala 12 lagi sudah diserahkan kepada jawatankuasa dan wakil penduduk,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Wakaf Air di Felda Sungai Retang di sini, hari ini.
Katanya lagi, inisiatif Tabung Wakaf Air akan memanfaatkan ramai penerima dan di Jerantut sahaja, lima projek Wakaf Air sudah disiapkan iaitu di Kampung Batu Balak, Kampung Tanah Pindah, Kampung Belukar dan di Jalan Tamalian dan Jalan Jengkuar, Felda Sungai Retang.
“Projek dengan kos RM248,175 itu akan memanfaatkan 615 penduduk daripada 139 keluarga di kawasan terbabit di mana kawasan pedalaman yang di luar capaian rangkaian paip air terawat dan kerap menghadapi masalah bekalan dapat menikmati sumber air alternatif,” ujarnya.
Tabung Wakaf Air yang dilancarkan pada 17 Disember 2020 adalah inisiatif KASA melalui kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).
Ia bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf.
Sumbangan wakaf boleh disalurkan menerusi sistem Wakaf Tunai di pautan https://www.ywm.gov.my/wakaf-air.