17 JAN: Polis melaporkan satu lagi kes kematian dalam tahanan di Kota Bharu, Kelantan semalam, beberapa hari selepas kejadian serupa di Taiping, Perak.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, kejadian berkenaan berlaku di Balai Polis Pengkalan Chepa pada jam 4.35 petang semalam.
Lelaki berusia 37 tahun itu, katanya ditahan berkait Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama empat hari bermula 16 hingga 19 Januari ini.
“Orang kena tahan (OKT) adalah seorang lelaki berumur 37 tahun telah ditangkap di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“OKT telah direman selama empat hari mulai 16 hingga 19 Januari ini di Mahkamah Kota Bharu, Kelantan.
“Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan Bukit Aman mengesahkan seorang OKT meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
Ia membabitkan kematian lelaki berusia 63 tahun yang telah dituduh pada 18 April lalu di bawah Seksyen 379A dan 324 Kanun Keseksaan.