18 JAN: Kementerian Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan seramai 44 pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Jalan Telipot di Kota Bharu dikesan positif COVID-19 sehingga semalam.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kluster membabitkan pelajar asrama sekolah itu dikenali sebagai Kluster Embi Telipot dan hasil siasatan mendapati seramai 256 orang kontak rapat telah dikenal pasti.
“Semua kontak rapat ini diarahkan untuk menjalani kuarantin. Mereka juga dinasihatkan supaya menjalani saringan sekiranya mengalami gejala dalam tempoh itu.
“Sehingga semalam, seramai 44 kes yang dikesan positif COVID-19 membabitkan semua pelajar asrama sekolah itu,” katanya hari ini.
Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu juga mencadangkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula hari ini sehingga 25 Januari ini.
Mengulas lanjut, Zaini berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar jangkitan COVID-19 di sekolah berkenaan.
“Kita sahkan, ada kluster COVID-19 di sekolah berkenaan yang membabitkan pelajar asrama,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan mesej yang tidak benar kerana boleh menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa dan masyarakat.