18 JAN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melakukan penambahbaikan berhubung maklum balas ramai mengenai kesesakan di plaza tolnya berikutan penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
PLUS dalam satu kenyataan hari ini berkata syarikat itu sudah menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.
“Kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID dan sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan.
“Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma,” katanya.
PLUS berkata pelanggan lebuh raya disaran untuk memastikan penggunaan lorong yang betul mengikut panduan pada papan tanda yang disediakan.
Dalam perkembangan sama, PLUS turut memberitahu pihaknya telah mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan sebanyak 10 peratus transaksi RFID selepas ia dilaksanakan pada 15 Januari lalu di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan.
“PLUS ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang telah berhijrah ke RFID sebagai pembayaran tol pilihan mereka sejak pelaksanaan tersebut,” katanya.