19 JAN: Bank Rakyat menawarkan pulangan tunai lima peratus menerusi kempen Petrol Khamis! (Fuel Thursday!) bagi pelanggan yang berbelanja menggunakan Kad-Kredit-i Bank Rakyat bagi setiap transaksi pembelian petrol dan barangan lain di semua stesen minyak di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, berkata pemegang Kad Kredit-i Bank Rakyat boleh menikmati tawaran itu pada setiap Khamis bermula 13 Januari lalu sehingga 5 Mei depan.
“Lebih menarik, bagi setiap transaksi yang dilakukan, tiada perbelanjaan minimum yang diperlukan untuk menikmati manfaat pulangan tunai ini. Lebih banyak berbelanja, lebih banyak pulangan tunai yang menanti.
“Pembelian yang dilakukan di stesen minyak itu mestilah barangan patuh Syariah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penyertaan bagi kempen itu adalah secara automatik dan tidak memerlukan pendaftaran.
“Kesemua pulangan tunai akan dikreditkan pada kitaran penyata bulanan yang berikutnya dan manfaat pulangan tunai adalah tanpa had. Tiada had bulanan yang dikenakan sepanjang tempoh kempen berlangsung,” katanya.
Syed Abdul Aziz berkata, kempen ini bertepatan dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan kerajaan, sekali gus melambangkan komitmen dan keprihatinan Bank Rakyat dalam meringankan beban kewangan masyarakat terutama kepada golongan yang terjejas banjir baru-baru ini.
“Diharapkan kempen ini dapat mengurangkan kos perbelanjaan harian mereka yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan luar jangka untuk membeli perkakas dan barangan keperluan harian termasuk membaiki rumah dan kenderaan yang rosak akibat banjir,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web www.bankrakyat.com.my, hubungi pusat panggilan di talian 1300 80 5454 atau Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03 2693 6880.
Pelanggan juga boleh mengunjungi cawangan Bank Rakyat berhampiran atau mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat. – BERNAMA