19 JAN : Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini memaklumkan permohonan untuk Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2022 bagi pengajian peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (PhD) telah dibuka bermula hari ini.
Kata JPA menerusi satu kenyataan hari ini, permohonan itu boleh dibuat dengan mengisi borang permohonan secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my.
“Sebanyak 12 biasiswa ditawarkan, iaitu enam untuk pengajian peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan enam lagi pengajian peringkat PhD di dalam dan luar negara. Bidang pengajian bawah penajaan BYDPA ialah Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam.
“Borang permohonan lengkap berserta dokumen sokongan yang diperlukan, perlu diterima JPA sebelum atau pada 22 Februari depan secara serahan tangan atau pos,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Antara syarat ditetapkan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan berumur tidak lebih 35 tahun pada 1 Januari 2022, serta memiliki keputusan akademik amat cemerlang pada peringkat pengajian terdahulu.
Manakala bagi biasiswa program peringkat sarjana, pemohon perlu memiliki Ijazah Sarjana Muda diiktiraf kerajaan dengan memperoleh sekurang-kurang Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.75 atau setaraf dengannya.
“Bagi program PhD pula, calon disyaratkan mempunyai ijazah sarjana muda dan sarjana yang diiktiraf kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf. Selain itu, calon harus mendapat tawaran tanpa syarat bagi pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi (IPT) yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian.
“Biasiswa berkenaan juga boleh dimohon oleh pelajar yang sudah memulakan pengajian sepenuh masa pada tahun penawaran di IPT yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian. Bagi pengajian peringkat sarjana pula adalah secara mod penyelidikan saja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis,” kata kenyataan itu lagi.
Syarat permohonan lain ialah calon mestilah terbabit dalam penghasilan kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya. Pembabitan secara aktif adalah kelebihan kepada calon sarjana, manakala bagi PhD pula adalah wajib.
Calon yang memenuhi syarat permohonan akan disaring lanjut oleh pihak JPA sebelum disenarai pendek untuk menghadiri temu duga.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my atau menghubungi talian 03- 8885 3879 / 3569 / 3438/ 3371/ 3571 pada setiap hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang, atau e-mel kepada penawaranldp@jpa.gov.my.