21 JAN: Orang ramai termasuk syarikat korporat dipelawa menyumbang bagi mengisi Dana Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kutipan itu akan digunakan bagi menyediakan perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan
“Sebagai sebuah institut pengajian tinggi yang bukan untuk meraih keuntungan, UTAR yakin dapat mengembalikan semula manfaat kepada masyarakat dengan dengan menyediakan perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan..
“Hospital UTAR menawarkan perkhidmatan perubatan Barat dan tradisional Cina,” katanya ketika melancarkan kutipan berkenaan di ibu negara hari ini.
Ka Siong berkata sejak ditubuhkan pada tahun 2002, UTAR telah melangkah jauh, malah penubuhan Hospital UTAR pula merupakan satu kejayaan baharu bagi universiti itu.
Menurutnya, semasa MCA menubuhkan UTAR, parti itu telah mengadakan banyak kempen mengumpul dana di seluruh negara bagi mengumpul dana untuk universiti berkenaan.
“Begitu juga dengan Hospital UTAR ini, Kempen Kutipan Dana MCA untuk Hospital UTAR dilancarkan bagi mengumpul dana melalui mekanisme MCA di seluruh negara.
“Sehubungan itu, saya menyeru rakan-rakan seperjuangan parti untuk melihat ini sebagai tanggungjawab bersama.
“Kami juga berharap kempen mengumpul dana ini akan turut disertai oleh orang ramai yang berkemampuan,” katanya.
Dalam majlis sama, MCA turut menzahirkan setinggi penghargaan dan penghormatan kepada pengasas UTAR, Tun Dr Ling Liong Sik di atas visinya untuk menyediakan lebih banyak peluang pendidikan kepada rakyat Malaysia.