21 JAN: Malaysia menyeru semua pihak di peringkat antarabangsa agar bersama-sama menangani kepupusan harimau yang kini jumlahnya kurang 4,000 ekor di seluruh dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kehilangan populasi harimau tidak mengenal sempadan geografi, kebudayaan dan perbezaan politik.
“Dalam keadaan sekarang, marilah kita semua sebagai Tiger Range Countries bekerjasama dalam semangat ‘keluarga dunia’ bagi menyelamatkan harimau ini,” katanya ketika ucapan perasmian di Persidangan Menteri-Menteri Asia ke-4 bagi Konservasi Harimau (AMC4) di Kuala Lumpur hari ini.
Malaysia menjadi negara habitat harimau di Asia Tenggara yang pertama dipilih sebagai tuan rumah persidangan berkenaan.
Persidangan itu amat penting sebagai persediaan negara-negara Asia untuk menyertai sidang kemuncak berkaitan harimau peringkat global di Rusia pada September akan datang.
Turut hadir, Menteri Tenaga dan Sumber Asli merangkap Pengerusi Persidangan Menteri Asia Ke-4 berkaitan Konseversi Harimau Malaya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Pertanian dan Hutan Bhutan merangkap Pengerusi Forum Harimau Global Lyonpo Yeshey Penjor.
Menurutnya, Malaysia akan memberikan komitmen serius di peringkat antarabangsa dalam pemuliharaan dan biodiversiti harimau.
Katanya, Malaysia berbangga kerana turut terlibat dalam pelbagai konvensyen berkaitan pemuliharaan biodiversiti termasuk Convention on Biological Diversity (CBD) and Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Flora and Fauna (CITES).
“Malaysia turut bekerjasama dengan pelbagai agensi di peringkat antarabangsa bagi menangani perdagangan hidupan liar secara haram termasuk ASEAN Working Group on CITES and Wildlife Enforcement (AWG CITES & WE) dan Polis Antarabangsa (INTERPOL).
“Atas alasan tersebut, Malaysia mencadangkan Kenyataan Bersama Kuala Lumpur Bagi Konsevarsi Harimau.
“Kenyataan bersama ini memuatkan 13 perkara yang akan menyokong pelaksanaan tindakan dalam Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau di Asia Tenggara (STRAP) bagi meningkatkan populasi harimau di Asia Tenggara,” katanya.
Jelasnya, STRAP dan Strategi Sumber Mobilasi akan memberikan maklumat kepada Tiger Range Countries bagi membuat sasaran realistik dalam usaha pemuliharaan harimau.
“Ini termasuk pelan kewangan dalam usaha konservasi harimau di Asia Tenggara,”katanya.
.