25 JAN: Sebanyak 10 kes kematian COVID-19 semalam dengan satu korban diklasifikasikan sebagai kematian di luar fasiliti hospital (BID), menurut perincian dikeluarkan GitHub.
Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan jumlah kumulatif kematian kini ialah 31,902 kes.
Selangor mencatatkan angka kematian tertinggi, iaitu tiga kes, diikuti Sabah (2) serta Johor, Kedah, Kelantan, Melaka dan Pahang masing-masing satu kes.
Tiada kes kematian dilaporkan di Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 45,208 kes aktif COVID-19 dilaporkan, termasuk 146 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 65 yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 3,116 kes sembuh turut dilaporkan dengan jumlah kumulatif negara ini kini ialah 2,836,159 kes.