25 JAN: Malaysia mengulangi pendirian agar Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar diberikan akses kepada semua pihak yang berkenaan dalam usaha mencari penyelesaian secara aman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dalam hal ini, Malaysia menyokong pelantikan Tuan Yang Terutama (TYT) Prak Sokhonn sebagai Utusan Khas yang baharu.
Beliau turut menekankan bahawa Malaysia kekal komited dan menyokong usaha ASEAN ke arah menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.
“Berhubung keputusan ASEAN untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menyertai mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN, Malaysia menegaskan bahawa pendirian Malaysia kekal tidak berubah selagi tiada perkembangan nyata dan pelaksanaan sepenuhnya Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).
“YAB Perdana Menteri juga menyuarakan pandangan bahawa cadangan langkah-langkah untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincang dan diperhalusi dengan lebih lanjut di peringkat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN dan
Pegawai-pegawai Kanan ASEAN.
“Malaysia bersetuju dengan cadangan Pengerusi ASEAN supaya Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan segera,” kata Wisma Putra dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu susulan Perdana Menteri telah mengadakan satu persidangan video dengan Perdana Menteri Kemboja, TYT Samdech Akkha Moha Sena Padei Techo Hun Sen hari ini yang diadakan atas permintaan daripada pihak Kemboja.
Semasa panggilan telefon tersebut, Ismail Sabri telah mengucapkan tahniah kepada Kemboja setelah mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2022 dan mengucap terima kasih kepada Hun Sen kerana berkongsi maklumat berhubung perkembangan terkini di Myanmar.
“YAB Perdana Menteri turut menekankan keperluan meredakan keadaan di Myanmar dan menghentikan keganasan terhadap orang awam.
“Mengadakan dialog politik di antara semua pihak yang berkaitan demi kepentingan rakyat Myanmar, dan menyeru pembebasan segera kesemua tahanan politik tanpa sebarang syarat, termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint.
“Meneruskan bantuan kemanusiaan melalui ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre) dengan sokongan Negara-negara Anggota ASEAN dan rakanrakan luar ASEAN,” menurut kenyataan itu lagi.