26 JAN : Individu berusia 18 tahun ke atas kini boleh mengambil vaksin dos penggalak secara terus (walk in) di empat PPV intergrasi disekitar Lembah Klang yang mula beroperasi bermula esok.
KKM dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, langkah itu bagi mempertingkatkan lagi kadar pengambilan dos penggalak dan memastikan lebih ramai penduduk di Lembah Klang mendapat perlindungan imuniti yang optimum terhadap jangkitan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.
Kata kenyataan itu lagi, liputan vaksinasi dos penggalak di Lembah Klang juga amat menggalakkan dengan 68.2 peratus penduduk dewasa sudah menerima dos penggalak, selepas Sarawak yang mencatatkan liputan tertinggi iaitu sebanyak 69.5 peratus.
“Sehingga semalam, seramai 11,119,363 atau 47.5 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19,” katanya.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan – Dos Penggalak (PICK-Booster) yang bermula pada 13 Oktober lalu, adalah antara langkah mengawal pandemik COVID-19.
Empat PPV Integrasi dibuka untuk mempertingkatkan lagi kapasiti pemberian vaksin di Lembah Klang, iaitu di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur; Axiata Arena, Bukit Jalil; Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam; dan Dewan Soka Gakkai, Klang yang dibuka sejak 15 Januari lalu.
“Vaksin yang diberikan di PPV Integrasi di Lembah Klang adalah vaksin AstraZeneca, manakala vaksin Pfizer juga akan dibekalkan bagi individu tertentu seperti ibu hamil yang sudah menerima temujanji atau individu yang mempunyai kontraindikasi terhadap vaksin AstraZeneca.
“Individu yang ingin hadir secara ‘walk-in’ perlu memastikan sijil vaksinasi digital dalam aplikasi MySejahtera adalah lengkap bagi melancarkan proses vaksinasi,” katanya.