26 JAN : Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan hari ini menzahirkan ucapan selamat dan doa kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Doa dan ucapan selamat saya titipkan kepada rakan saya, Dr Mahathir Mohamad supaya beliau cepat sembuh,” katanya menerusi ciapan Twitternya.
Dr Mahathir, 96, dimasukkan ke IJN pada 7 Januari lalu dan dibenarkan keluar pada 13 Januari selepas menjalani prosedur perubatan elektif pada 8 Januari.
Bagaimanapun, beliau dimasukkan semula ke unit rawatan koronari (CCU) pada Sabtu lalu.
Anak perempuan Dr Mahathir, Marina dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesihatan bapanya semakin pulih dan sudah dipindahkan ke wad biasa. – BERNAMA