26 JAN : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesan tujuh kluster melibatkan institusi pendidikan sejak minggu lepas hingga Rabu ini.
Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, ia berdasarkan saringan kontak rapat dijalankan JKN Sabah terhadap penghuni asrama di enam sekolah di negeri ini.
Katanya menerusi satu kenyataan hari ini, Kluster Jalan Teritipan di Kota Marudu ialah kluster institusi pendidikan direkodkan pada Rabu dengan 44 kes positif, manakala dua lagi ialah Kluster Jalan Binunuk di Beaufort dan Papar (kluster tempat kerja/14 kes positif) dan Kluster Montenior di Beaufort dan Kuala Penyu (kluster tempat kerja/43 kes).
“Kes indeks Kluster Jalan Teritipan ialah pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 di Kota Marudu disahkan positif pada Ahad lepas (23 Jan). Semua pelajar sekolah yang bergejala ringan telah diasingkan untuk rawatan sewajarnya.
“Kluster baharu institusi pendidikan itu menjadi antara penyumbang utama kes harian di Sabah sekali gus menjadikan Kota Marudu sebagai daerah merekodkan kes baharu tertinggi sebanyak 64 kes hari ini,” kata Masidi yang juga merupakan jurucakap Covid-19 negeri Sabah.
Pada minggu lepas, Sabah merekodkan lima kluster Covid-19 melibatkan penularan jangkitan dalam institusi pendidikan iaitu di Putatan (Kluster Pandan-Pandan), Sandakan (Kluster Jalan Pertukangan), Ranau (Kluster Puri Ranau) dan (Kluster Bypass Kologon) dan Tambunan (Kluster Jalan Kepayan Lama).
Pada Selasa, kluster keenam di Tawau (Kluster Jalan Balung) direkodkan dengan 18 kes terdiri daripada pelajar asrama SMK Balung di Tawau, manakala Kluster Jalan Teritipan merupakan kluster ketujuh institusi pendidikan dikesan sejak minggu lepas.
Mengenai Kluster Jalan Binunuk, Masidi berkata, kluster itu berpunca selepas kes indeks seorang wanita yang juga kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berumur 34 tahun disahkan positif pada 22 Jan dengan jumlah kumulatif 14 kes setakat ini.