Denmark tarik semua sekatan COVID-19 1Februari ini
27 JAN : Denmark akan menarik balik semua sekatan bagi menyekat penularan COVID-19 pada 1 Februari ini.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen mengumumkan perkara berkenaan dan menegaskan bahawa Denmark kini bersedia untuk keluar daripada bayangan COVID-19.
“Hari ini kita boleh katakan kita bersedia keluar daripada bayangan COVID-19. Kita ucapkan selamat tinggal kepada sekatan dan selamat kembali kepada kehidupan sebelum wabak.”
“Mulai Selasa depan, rakyat tidak perlu memakai pelitup muka apabila memasuki pasar raya atau menaiki pengangkutan awam, dan pelanggan di restoran dan bar tidak perlu mengemukakan sijil vaksin COVID-19 melainkan institusi terbabit secara khusus memintanya,” katanya dalam satu kenyataan.
Meskipun bulan pertama 2022 menyaksikan kadar jangkitan harian tertinggi di negara itu, Frederiksen berkata bahawa keputusan pada Rabu bermakna “virus COVID-19 tidak lagi dianggap sebagai penyakit kritikal masyarakat.
Perdana menteri juga menekankan bahawa penjagaan tambahan perlu diambil terhadap golongan rentan termasuk warga emas, dan penghidap penyakit kronik.
Bagaimanapun, golongan rentan di seluruh negara bimbang dengan keputusan kerajaan, menurut persatuan pesakit Asma Alergi Denmark.
Menurut persatuan tersebut, pembukaan semula secara drastik dan tanpa syarat akan memberi impak besar kepada kebanyakan golongan rentan di negara ini, termasuk penghidap asma dan mereka dengan penyakit kronik.