27 JAN : Sebanyak 10 kenderaan awam rosak akibat dihempap pokok dan bumbung dalam dua kejadian akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda Seksyen 13, Shah Alam petang tadi.
Insiden tersebut melibatkan Jalan Subang berdekatan Politeknik Premiere Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan kawasan parkir sebuah pusat beli-belah, kira-kira pukul 5 petang.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata menerusi satu kenyataan, pihaknya menerusi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bersama jentera ke lokasi kejadian pertama di Jalan Subang.
“Pemeriksaan mendapati dua kenderaan dihempap pokok yang tumbang di jalan menuju ke Lebuhraya Persekutuan berkenaan. Namun, tiada mangsa cedera dan mereka keluar sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelas beliau, kerja pemotongan masih giat dijalankan dan laluan berkenaan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan setakat ini.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Norazam memaklumkan turut menerima laporan mengenai runtuhan bumbung di kawasan parkir pusat beli-belah di Seksyen 13.
“Berdasarkan maklumat awal, sebanyak lapan kenderaan orang awam yang diletakkan di kawasan itu mengalami kerosakan. Bagaimanapun, tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini,” katanya.