28 JAN : Sebanyak 15 kluster yang melibatkan institusi pendidikan dikesan di Pahang yang melibatkan seramai 554 pelajar dijangkiti setakat ini.
Kluster itu dikesan sejak pembukaan sesi persekolahan tahun ini merangkumi sekolah rendah dan menengah, kolej serta institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, daripada 15 kluster itu, tujuh kluster masih aktif termasuk di Kolej Vokasional (KV) Bentong; KV Rompin dan Kluster Jalan Medang melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chemomoi di Bentong.
Menurutnya, kluster pendidikan dikenal pasti antara penyumbang peningkatan kes positif Covid-19 di Pahang dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.
“Jika sebelum ini kes harian dicatatkan kira-kira 200 kes sehari namun kini melonjak kepada lebih 300 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega Bagi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Akta 342 dan Akta Makanan 1983 Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) di sini, pada Jumaat.
Antara faktor penyumbang kewujudan kluster pendidikan di negeri itu menurut Dr Nor Azimi termasuk kurang atau tiada pematuhan SOP dalam kalangan pelajar terutama di luar bilik darjah termasuk di asrama.
“Selain itu didapati ada pelajar atau kakitangan institusi pendidikan yang bergejala masih datang ke sekolah kerana beranggapan simptom itu hanya demam biasa,” ujarnya.
Tambahnya, keadaan itu diburukkan lagi apabila mereka yang bergejala lambat membuat pengesahan di klinik sehingga mendedahkan pelajar lain kepada risiko jangkitan menyebabkan berlaku kes yang tinggi dalam masa singkat.