31 JAN: Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menafikan menerima rasuah dan menyifatkannya sebagai fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata dakwaan tersebut dilihat sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat.
Justeru, beliau bersedia disiasat berhubung dakwaan menerima sejumlah wang bagi digunakan untuk aktiviti politiknya.
“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.
“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hidup dan perjuangannya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kurang upaya (OKU), nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti.
Beberapa media memetik sumber sebagai berkata, Maszlee didakwa menerima sejumlah wang dan sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire dari sebuah syarikat di bawah Kementerian Pendidikan semasa beliau menjadi menteri.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan memaklumkan terdapat aduan dibuat terhadap Maszlee.
Dua aduan diterima SPRM berhubung kesalahan rasuah dan penyelewengan dan siasatan sedang dijalankan oleh agensi itu.
Dalam pada itu, SPRM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawai suruhanjaya itu melakukan intimidasi sebagaimana didakwa Maszlee.