Aliran masuk dana asing melonjak
31 JAN: Kemasukan pelabur asing ke Malaysia untuk minggu ketiga berlaku pada kadar lebih pantas berbanding minggu sebelumnya dengan belian bersih RM116.45 juta berbanding RM11.35 juta.
MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, apabila pasaran dibuka semula pada Isnin, pelabur asing dan runcit membeli RM60.14 juta dan RM5.89 juta bersih ekuiti tempatan, sementara institusi tempatan memulakan minggu sebagai penjual bersih sebanyak -RM66.03 juta.
Ia berkata, belian bersih terbesar oleh pelabur asing direkodkan pada Selasa sebanyak RM89.04 juta.
Katanya, momentum aliran masuk bersih asing pada Rabu susut kepada RM21.52 juta berikutan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan kadar faedah.
“Satu-satunya aliran keluar bersih daripada dana asing adalah pada Jumaat, yang mana ia berjumlah -RM99.07 juta meskipun data ekonomi Malaysia meningkat yang mana eksport mengekalkan pertumbuhan dua angka pada Disember 2021.
“Setakat ini, pada Januari (2022) menyaksikan aliran masuk bersih asing sebanyak RM0.46 bilion,” katanya.
MIDF Research berkata, pelabur runcit adalah penjual bersih sebahagian besar minggu itu kecuali pada Isnin dan Khamis dengan jualan bersih terbesar dicatatkan peruncit pada Selasa sebanyak -RM26.37 juta.
Firma penyelidik berkata, pada minggu itu, pelabur runcit menjual -RM30.69 juta ekuiti di Bursa Malaysia, sementara pelabur institusi tempatan merekodkan jualan bersih mingguan terkumpul sebanyak -RM85.74 juta.
Katanya, institusi tempatan adalah penjual bersih untuk semua hari sepanjang minggu itu kecuali pada Jumaat dengan jualan bersih terbesar pada Isnin sebanyak RM66.03 juta.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan asing mencatatkan pergerakan mingguan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) masing-masing sebanyak -11.07 peratus, -20.59 peratus dan -16.20 peratus.