1 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin pagi ini menghadiri Majlis Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong selaku tuan rumah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan beberapa menteri lain.
Turut kelihatan hadir ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan BN, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Selain itu, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) juga turut hadir di majlis yang diadakan secara sederhana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu.
Sempena meraikan kedatangan tahun harimau yang menjadi lambang keberanian bagi masyarakat Cina itu, Perdana Menteri turut menggaul yee sang bersama pemimpin BN dan turut diserikan dengan persembahan tarian harimau, nyanyian dan tarian kebudayaan.