3 FEB: Selepas dua tahun ditutup, New Zealand hari ini mengumumkan fasa pembukaan semula sempadannya sekali gus memberi sinar kepada sektor pelancongan di negara itu yang terjejas teruk.
Perdana Menterinya, Jacinda Ardern mengumumkan mulai 27 Februari, warga New Zealand sudah divaksin di Australia boleh boleh melakukan perjalanan tanpa perlu dikuarantin, manakala warganya di negara lain dua minggu kemudian.
“Bagi pengembara asing dan buruh mahir yang sudah menerima pelalian itu akan dibenarkan memasuki negara ini bermula 13 Mac depan.
“Seramai 5,000 pelajar antarabangsa juga memasuki negara ini bermula 12 April depan,” katanya yang memberitahu semua pengembara masih tertakluk kepada arahan kuarantin kendiri selama 10 hari.
Pelancong dari Australia dan negara bebas visa lain bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki negara itu sehingga Julai serta pengembara dari negara lain juga tertakluk kepada arahan sama sehingga Oktober depan dan mereka dikehendaki kuarantin kendiri setibanya di negara itu.
Ardern berkata, pembukaan sempadan secara berperingkat dan dalam keadaan terurus membolehkan orang bertemu kembali dan membantu mengisi kekurangan tenaga buruh selain memastikan sistem penjagaan kesihatan dapat menguruskan peningkatan kes.
“Strategi kami terhadap jangkitan COVID-19 varian Omicron adalah untuk memperlahankan penularan di sempadan kami,” katanya.
New Zealand antara negara yang paling ketat mengawal sempadan di dunia, sebagai usaha kerajaan untuk mengekang perebakan COVID-19.
Warga asing dilarang memasuki negara itu dan warganya mencari kaedah berbuat demikian sama ada membuat permohonan kecemasan kepada kerajaan atau mendapatkan tempat di fasiliti kuarantin negara yang dipanggil MIQ melalui laman web.
Peraturan itu bagaimanapun membantu negara yang memiliki populasi seramai lima juta orang itu merekodkan sekitar 17,000 kes positif dan 53 kematian setakat ini.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Persatuan Lapangan Terbang, Kevin Ward, berkata keperluan kuarantin kendiri akan mengekang penularan COVID-19 sekali gus membantu pemulihan sektor pelancongan.
“Orang tidak mahu melakukan penerbangan ke New Zealand kerana mereka perlu menghabiskan seminggu pertama duduk di hotel,” katanya. – REUTERS