3 FEB : Kontrak 1,234 Penolong Pegawai Perubatan (PPP) Gred U29 yang tamat semalam telah dilanjutkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 26 dan 28 Januari lalu.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, kelulusan itu diberikan untuk PPP Gred U29 di kalangan graduan Institut Latihan KKM.
“Pemakluman berhubung perlanjutan kontrak ini sudah pun dimaklumkan kepada ketua jabatan.
“Tawaran perlanjutan kontrak bagi kohort lain yang tamat kontrak dalam tahun 2022 akan dibuat secara berfasa sebaik perakuan KKM diluluskan oleh agensi pusat dan SPA,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar pada Selasa lalu yang mendakwa sejumlah PPP Gred U29 merancang untuk mengadakan siri protes bagi memperjuangkan lantikan dan beberapa manfaat lain yang tidak diperoleh kerana berstatus kontrak.
Ia susulan tunjuk perasaan yang digerakkan Hartal Doktor Kontrak pada Julai tahun lalu bagi menuntut perkara sama.
Akhbar itu melaporkan, protes PPP Gred U29 dilancarkan melalui media sosial bermula semalam berikutan ramai yang tamat kontrak pada hari berkenaan dengan mereka yang terbabit akan menukar gambar profil kepada warna hitam berserta tulisan ‘Kami Mahu Lantikan Tetap’ dan ‘Kami Masih Ingin Berkhidmat’, selain menyerahkan petisyen rasmi kepada kerajaan.
Mohd Shafiq berkata, KKM amat menghargai peranan penting PPP dan barisan hadapan lain, khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.
“Mengambil kira status Malaysia dalam peralihan daripada fasa pandemik kepada endemik dan usaha memulihkan perkhidmatan tertangguh akibat COVID-19, KKM memperakukan perlanjutan kontrak petugas kesihatan yang akan tamat kontrak pada tahun 2022,” ujarnya.