4 FEB: Penanam ganja di Thailand perlu berdaftar menerusi sebuah aplikasi telefon pintar yang bakal diperkenalkan di negara itu.
Thailand bakal memperkenalkan sebuah aplikasi telefon pintar bagi membolehkan mana-mana individu yang ingin menanam ganja, melakukan pendaftaran dengan mudah.
Media tempatan melaporkan Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul berkata, pendaftaran ringkas itu bertujuan untuk pegawai melawat taman atau ladang untuk melakukan pemeriksaan.
Charnvirakul yang juga Timbalan Perdana Menteri dan ketua parti Bhumjaithai memaklumkan aplikasi itu diperkenalkan agar proses pendaftaran tidak menjadi terlalu sukar.
Setakat ini, laporan tidak menyatakan bahawa ekspatriat layak untuk menanam ganja.
Bulan lalu, Lembaga Kawalan Narkotik Thailand meluluskan langkah Kementerian Kesihatan untuk mengeluarkan ganja daripada senarai dadah terkawal.
Satu rang undang-undang mengenai peraturan penggunaan ganja sudah dikemukakan kepada Parlimen minggu lalu.
Menurut Charnvirakul, ia membolehkan bahagian tumbuhan itu digunakan dalam makanan dan minuman.