6 FEB: Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terjatuh dan terperangkap di dalam perigi sedalam 32 meter, Rayan Oram ditemui telah meninggal dunia oleh pasukan penyelamat Maghribi, hari ini.
Rayan terjatuh ke dalam perigi itu sejak lima hari lalu, memaksa pasukan penyelamat berusaha keras menjalankan operasi menyelamat.
Kematian Rayan disahkan susulan kenyataan dikeluarkan pihak Raja Maghribi, Raja Mohammed VI yang menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Susulan kemalangan tragis mengorbankan nyawa kanak-kanak, Rayan Oram, Raja Mohammed VI memanggil ibu bapa kanak-kanak itu yang maut selepas terjatuh ke dalam perigi,” menurut kenyataan terbabit.
Rayan jatuh ke dalam perigi kosong sedalam 32 meter di kampung Ighrane yang terpencil di wilayah Chefchaouen, Selasa lalu menarik tumpuan seluruh dunia.
Terdahulu, pasukan penyelamat dilaporkan berjaya mengeluarkan mangsa dari perigi terbabit pada waktu malam selepas melakukan penggalian sejak beberapa hari lalu.
Ibu bapa kanak-kanak itu turut dilihat menuruni cerun digali pasukan penyelamat sebelum kembali ke permukaan dan menaiki ambulans sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai yang menantikan perkembangan operasi berkenaan.
Susulan itu, orang ramai yang menanti perkembangan operasi terbabit dilihat mula bersurai. Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan sehingga media tempatan melaporkan kenyataan pihak istana.
Sepanjang operasi menyelamatkan Rayan, pihak berkuasa sebelum ini menyatakan mereka tidak dapat menentukan nasib kanak-kanak malang terbabit.
Perigi hanya seluas 45 sentimeter itu terlalu sempit untuk penyelamat turun menyelamatkan kanak-kanak itu dan meluaskannya terlalu berisiko, sekali gus jentera membuat cerun ke dalam bukit untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dari bahagian tepi.
Operasi itu menjadi bertambah rumit disebabkan campuran pelbagai jenis batu dan tanah berpasir, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh.
Sepanjang operasi menyelamatkan kanak-kanak terbabit, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan jentera bagi menggali lubang berhampiran perigi sebelum mengorek terowong untuk sampai ke lokasi mangsa. – AFP