7 FEB : Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan mengenai isu integriti yang membabitkan beberapa pegawai kanan agensi tersebut.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun, Azizah mengesahkan menerima kunjungan sepasukan pegawai daripada SPRM Putrajaya hari ini bagi memulakan siasatan ke atas pegawai MARA yang dikaitkan dengan dakwaan isu integriti.
“MARA memberi jaminan akan sentiasa komited dalam memastikan integriti organisasi ini terpelihara dan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa serta penyelewengan membabitkan kepentingan awam.
“Pengurusan MARA dan MARA Corp sedia memberikan kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kes ini untuk siasatan pihak SPRM,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Semalam, SPRM menyerbu sekurang-kurang tiga pejabat berkaitan MARA di ibu negara bagi membantu siasatan berhubung isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan agensi berkenaan.
Beberapa pegawai SPRM difahamkan hadir di pejabat berkenaan bermula jam 9 pagi tadi dipercayai untuk mengambil beberapa dokumen berkaitan yang boleh membantu siasatan kes berkenaan
Selain ibu pejabat MARA di Jalan Mara, pegawai SPRM juga dikatakan ke syarikat pelaburan MARA dan sebuah syarikat setiausaha korporat serta syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat kepada agensi itu, di sini.
SPRM dalam satu kenyataan kelmarin menyatakan pihaknya memandang serius dakwaan wujudnya isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan yang sedang disiasat secara dalaman oleh MARA.