Imej UMNO lebih segar, tonjol bakat muda
8 FEB: UMNO perlu memanfaatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menonjolkan bakat-bakat kepimpinan baharu sekali gus memaparkan imej yang lebih segar dan diyakini.
Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros berkata, usaha itu juga dilihat dapat membantu menepis dakwaan segelintir pihak bahawa UMNO sejak dahulu dikawal oleh kelompok atau kumpulan tertentu.
“Berdasarkan realiti kehendak politik semasa, UMNO tidak lagi mampu dengan hanya bersandar kepada retorik perjuangan politik bangsa dan agama semata-mata untuk terus menggamit keyakinan dan kepercayaan rakyat.
“UMNO perlu membuka peluang kepada bakat-bakat yang mampu menjadikan parti sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja peka, malah efektif dan berkesan dalam membawa perubahan kepada dasar-dasar memberi kesan langsung kepada aspek kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Azleen berkata, perkara itu juga perlu dilakukan UMNO seiring dengan pelaksanaan Undi18 yang mana menunjukkan parti bersedia mengambil langkah berani untuk memikat hati dan minda pengundi anak muda.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, peluang ketika PRN haruslah dijadikan sebagai sebahagian pendekatan parti bukan sahaja dalam berdepan realiti semasa tetapi strategi jangka panjang bagi menghadapi cabaran politik mendatang.