9 FEB : Seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini membabitkan 2.57 juta pengundi biasa, 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis dan pasangan serta 376 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN Johor ke-15 adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Januari lalu.
“Termasuk dalam 2.597 juta pengundi PRN Johor adalah 43,149 pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pengundi boleh membuat semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka menerusi laman portal SPR di pengundi.spr.gov.my atau menelefon talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan boleh dibuat mulai 21 Februari ini,” katanya.
SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan 8 Mac bagi hari mengundi awal.