11 FEB: Semua bantuan yang diumumkan kerajaan kepada usahawan yang terjejas banjir baru-baru ini akan mula diagihkan kepada penerima seawal Mac ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar berkata ia termasuk bantuan geran sebanyak RM3,000 kepada 15,000 usahawan mikro dan informal melibatkan kos RM50 juta.
Katanya, Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) yang ditawarkan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) turut menerima peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta.
“Pertamanya, saya nak ucap terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keprihatinan beliau dalam membantu nasib usahawan yang terkesan dengan banjir.
“Pengumuman beliau untuk menambah peruntukan kepada usahawan Mikro dan Informal melalui TEKUN dan PKS ( perusahaan kecil dan sederhana) melalui SME Corp saya yakin akan mempercepatkan lagi pemulihan sektor PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana),” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Menjawab persoalan pelaksanaan bantuan tersebut, Noh memberitahu beliau telah mengadakan satu sesi libat urus melibatkan 25 wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan-persatuan usahawan dalam mengenal pasti jumlah usahawan terkesan banjir yang perlu dibantu.
Bagaimanapun, katanya, beliau memerlukan kerjasama semua pihak dan bekerja dalam satu pasukan untuk memastikan hasrat Perdana Menteri itu tercapai.
Menurutnya, bantuan lain yang disediakan termasuklah untuk industri kecil dan sederhana (IKS) sebanyak RM100 juta melalui Program SME Emergency Fund (SMEEF) di bawah SME Corp untuk PKS terjejas dengan pinjaman sehingga RM100,000.
Jelasnya, skim itu adalah 0% faedah dan tempoh bayar balik adalah sehingga lima tahun dengan moratorium 12 bulan.
“Bantuan Banjir Keluarga Malaysia ini akan diuruskan sebaik mungkin.
“Semoga ini satu berita baik dalam usaha kita melahirkan Bangsa Usahawan. Sekali lagi terima kasih YAB Perdana Menteri yang prihatin dengan permasalahan usahawan,” katanya.