12 FEB: Syarikat penerbangan nasional, Singapore Airlines (SIA) kembali membuat pengambilan kru kabin selepas dua tahun dibekukan akibat pandemik COVID-19.
Memetik laporan CNA yang melaporkan kenyataan jurucakap SIA, langkah itu bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri penerbangan.
Akibat pandemik COVID-19 yang melanda sejak Februari 2020, syarikat itu terpaksa mengurangkan kos termasuk dengan menawarkan kru kabin pelepasan awal atau persaraan.
Kumpulan SIA mengurangkan pekerja di tiga syarikat penerbangannya pada September 2020 iaitu SIA, SilkAir dan Scoot susulan impak pandemik terhadap industri penerbangan.
“Kebanyakan juruterbang dan kru kabin kami telah kembali bertugas dengan SIA,” kata syarikat penerbangan itu.
Syarikat itu telah meningkatkan kapasitinya “dalam cara yang ditentukur” dan menyesuaikan perkhidmatan penumpangnya sejajar dengan peningkatan permintaan untuk perjalanan udara berikutan pengaturan laluan perjalanan lengkap vaksin (VTL), menurut jurucakap itu.
Kumpulan Singapore Airlines mengurangkan kira-kira 4,300 jawatan berikutan COVID-19 menjejaskan industri penerbangan.
Pengambilan kru yang boleh dimohon secara dalam talian itu mengambil kira keperluan menggantikan kru kabin yang berhenti daripada syarikat itu sejak dua tahun lalu dan akan membantu memenuhi rancangan pertumbuhan syarikat penerbangan itu.
SIA berkata syarikat itu terus berhubung dengan mereka yang terjejas dengan pengurangan 4,300 jawatan pada September 2020 dan mempelawa bekas kru kabin yang berminat untuk menyertai semula syarikat itu.
Mereka juga akan disenarai pendek dan dipilih berdasarkan merit dan kesesuaian untuk tugas berkenaan,” kata jurucakap itu.
Syarikat penerbangan itu berkata bahawa ia akan terus membuat pelaburan yang diperlukan dalam kakitangannya dan perniagaan untuk memastikan ia berada pada kedudukan lebih kukuh apabila perjalanan udara antarabangsa pulih. – AGENSI