Keperluan penjawat awam BDR diteliti
12 FEB: Kerajaan akan meneliti sama ada wujud keperluan untuk penjawat awam bekerja dari rumah (BDR), kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata, ia susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang kini melebihi kadar 20,000 kes sehari akibat gelombang Omicron.
Katanya, perkara membabitkan BDR itu perlu dibincang dan diputuskan mesyuarat jemaah menteri, sebelum boleh dilaksanakan kepada 1.4 juta penjawat awam di seluruh negara.
“Saya tak boleh kata apa lagi mengenai hal ini (BDR), tetapi kita akan teliti sebab perkara ini kena dibincang pada peringkat jemaah menteri dan kita akan patuh.
“Tetapi perkara paling mustahak untuk kita (penjawat awam) ialah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan ikut arahan yang diberikan pihak berwajib,” katanya selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Keluarga Malaysia (Tanggungjawab Sosial Korporat) Jabatan Kastam Diraja Terengganu bersama Ketua Pengarah Kastam dan Ketua Setiausaha Negara, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bayas, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 88 asnaf menerima bantuan bakul makanan, wang tunai dan kerusi roda, disumbangkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. – BERNAMA