12 FEB: Kepimpinan Barisan Nasional (BN) Johor diberi mandat untuk mengumumkan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua calon terbabit akan dimuktamadkan selepas perundingan dengan parti komponen BN yang lain.
“Saya serahkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri dan juga Ketua Penyelaras PRN Johor untuk mengumumkannya. Calon akan dimuktamadkan selepas perundingan dengan semua parti komponen.
“Calon terbabit juga bukan saja akan diteliti latar belakang politiknya, tetapi juga latar belakang pelbagai,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Perwakilan Tri Annual Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ketiga di Dewan Hakka, di Kota Kinabalu, hari ini.
Turut hadir, Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup; Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Kurup; Pengerusi Badan Perhubungan BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.