13 FEB : Lima petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menjalankan misi lapangan diculik di selatan Yaman ketika dalam perjalanan pulang ke Aden.
Jurucakap pegawai PBB di Yaman, Russell Geekie, berkata kakitangan berkenaan diculik di Wilayah Pentadbiran Abyan, kelmarin.
“PBB sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan mereka dibebaskan,” katanya, semalam.
Gabungan tentera diketuai Arab Saudi telah memerangi kumpulan Houthi yang sealiran dengan Iran di Yaman sejak 2015.
Konflik di Yaman sudah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal, selain mencetuskan krisis kemanusiaan yang teruk.