15 FEB: Sebanyak 24 kes kematian COVID-19 dilaporkan semalam dengan 11 kematian di luar fasiliti hospital (BID), menurut perincian dikeluarkan GitHub.
Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan jumlah kumulatif kematian kini ialah 32,149 kes.
Johor dan Sabah masing-masing mencatatkan lima kes kematian, diikuti Selangor (4), Kedah (3), Kelantan, Negeri Sembilan dan Terengganu masing-masing dua kes serta Perak (1).
Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 168,447 kes aktif COVID-19 dilaporkan, termasuk 199 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 115 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 8,517 kes sembuh turut dilaporkan dengan jumlah kumulatif negara kini ialah 3,061,550 kes.