15 FEB : Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd Austin dan Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg mengadakan perbincangan mengenai interaksi diplomatik terkini dengan Rusia menerusi telefon, kata jurucakap Pentagon John Kirby.
Kata Kirby dalam satu kenyataan, kedua-dua pemimpin membincangkan penglibatan diplomatik baru-baru ini dengan Rusia dan keperluan untuk Rusia meredakan ketegangan.
Dalam perbincangan itu, kedua-duanya bersetuju perlunya untuk mengekalkan “dasar pencegahan yang kuat” dan menekankan bahawa tindakan Rusia hanya akan membawa kepada “Perikatan NATO yang lebih kuat dan bersatu, bersiap sedia untuk menghalang dan bertahan daripada pencerobohan.
Beberapa bulan kebelakangan ini, negara-negara Barat dan Ukraine menuduh Rusia menempatkan tentera tambahan di sepanjang sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk menceroboh.
Moscow berulang kali menafikan dakwaan itu dengan menyatakan ia tidak berniat untuk menyerang Ukraine sambil menegaskan bahawa ia berhak menempatkan tenteranya di dalam wilayah negaranya.
Rusia turut menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan NATO berhampiran sempadannya dan sokongan ketenteraan berterusan kepada Ukraine, termasuk peningkatan bilangan penasihat tentera Barat di wilayah Donbas yang menjadi rebutan dan peningkatan penghantaran senjata ke Kiev.