19 FEB: Tiga maut termasuk wanita dan bayinya yang terkeluar dari kandungan dalam nahas membabitkan dua motosikal di Kampung Banggol Stol, Repek di Pasir Mas semalam.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah sementara bayinya disahkan meninggal dunia pada pukul 12 tengah malam tadi semasa menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).
Kemalangan tersebut turut mengakibatkan seorang lagi remaja, Muhamad Shakim Mohd Zaki, 18, meninggal dunia pada jam 10.45 malam juga ketika menerima rawatan di HPM.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, Nor Haliza yang sarat hamil sembilan bulan menunggang motosikal bersama anak perempuannya berusia enam tahun dengan mengekori suaminya untuk ke kedai runcit.
“Setiba di lokasi kejadian, Muhamad Shakim yang menunggang motosikal jenis Yahama Y-15 dipercayai telah memasuki laluan Nor Haliza menyebabkan berlaku pertembungan. Ketika itu, Nor Haliza menunggang motosikal jenis Honda Wave.
“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan Nor Haliza meninggal dunia dan bayi dalam kandungannya telah terkeluar.
“Seorang lagi anak mangsa, Nurul Iman Maisara Mohd Khairi mengalami kecederaan pada kepala, luka-luka di tangan dan muka,” katanya yang memberitahu Nurul Iman Maisara kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi HPM.
Menurutnya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.