20 FEB : Kakitangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dipindahkan dari ibu negara Ukraine, Kyiv ke Lviv, yang terletak di barat negara itu atas faktor keselamatan.
Kakitangan di ibu pejabatnya, Brussels turut dipindahkan atas alasan yang sama.
Bagaimanapun pejabat NATO di Ukraine tetap beroperasi tanpa memperincikan jumlah kakitangan yang dipindahkan.
Ukraine tidak menganggotai NATO, dan perikatan itu tidak mempunyai pasukan ketenteraan di sana.
Bagaimanapun, sejak penghujung 90-an, NATO mengekalkan dua pejabatnya di Kyiv iaitu Pejabat Perhubungan dan Pusat Maklumat dan Dokumentasi NATO.
Beberapa negara Barat telah memindahkan diplomat mereka dari Kyiv ke Lviv, yang terletak berhampiran sempadan Poland, dengan menjangkakan Russia bakal mengambil tindakan ketenteraan untuk menyerang Ukraine.
“Kami semua bersetuju risiko serangan adalah sangat tinggi,” kata Ketua NATO, Jens Stoltenberg kepada stesen televisyen Jerman, ARD selepas Persidangan Keselamatan Munich semalam.
Stoltenberg sebelum ini berkata, pakatan itu tidak akan mengerahkan pasukan tenteranya ke Ukraine untuk mempertahankan daripada sebarang pencerobohan Russia.
Bagaimanapun, anggota NATO telah menghantar pasukan tenteranya ke negara jiran yang juga ahli perikatan itu.
Stoltenberg turut berkata, negara anggota NATO komited untuk bertindak balas terhadap sebarang tindakan Russia di wilayah berkenaan, di bawah pakatan pertahanan kolektifnya.